Tuesday, November 18, 2008

Lady Bird VI

“Sejak akhir ni dia asyik menangis. Terlalu banyak menangis.”

“Kenapa?”

“Dia mengenangkan nasib kucing peliharaannya.”

“ Kucing? Kenapa dengan diorang?“

“Ko tak perasan ke? Kelmarin salah seekor kucingnya mati, kali ni seekor lagi tu sedang demam. Demam panas katanya.“

“Sudah la jangan risaukan dia. Itu semua sudah ketentuan Tuhan. Siapa pula yang berani nak melawan.“

“Bukan itu maksud aku. Aku Cuma kasihan melihat dia dalam keadaan begitu. Kadang-kadang berendam air mata, bercakap-cakap dengan kucingnya seolah-olah kucingnya faham apa yang dia katakan.“

“Betullah, binatang haiwan apa pun kalau dibela sejak kecil, dididik, diajar, tentulah ia akan faham. Inikan binatang peliharaan macam tu.“

“Lihat, dia menangis lagi. Yang benarnya dia tahankan perasaannya tu. Sampaikan sepanjang 2 minggu ni kesihatannya tak stabil, tidurnya selalu terganggu.“

“Sudahlah. Apa yang kita mampu buat. Kita hanya ikut apa yang telah ditetapkan dan apa yang telah diperintahkan. Lain-lain kita serahkan padaNya. Dia tempat terbaik untuk kembali. Manusia memang lemah. Baru diuji sedikit seolah-olah sudah hilang pedoman.“

“Aku sedih betul melihat keadaanya yang macam tu. Semoga dia tabah dan banyak-banyak bersabar.“

“Dia bagus, ada ciri-ciri pengikut Abu Hurairah. Bapa pencinta kucing. Kau sudah lupa?”

“Tidak. Masakan aku boleh lupa. Kisah tu sudah beratus tahun masih kuat ingat dalam ingatan. Aku ada masa tu masih di zaman kegemilangan tabiin. Jelas tergambar kasih sayangnya kepada binatang. Moga dia sihat-sihat sahaja di sana.“

“Tentulah. Allah SWT telah menetapkan sesiapa yang saling menyayangi dan mengasihi di antara makhlukNya telah ada tempatnya teristimewa di syurga kelak. Cuma manusia kadang-kadang terlalu mengikut perasaan dan mudah melupakan janji dan kata amanat Allah SWT.“

“Aku fikir jikalau keadaan ini berterusan, dia bakal terkena tamparan hebat atas kematian kucing-kucingnya. Dia mungkin akan jadi lebih fobia. Dirinya akan menjadi lebih teruk.“


Tatkala itu, dia masih di situ. Masih dikerusi bersebelahan menemankan kucingnya. Tertidur. Esok, katanya awal-awal pagi lagi hendak membawa kucingnya itu ke klinik. Klinik haiwan. Berapa perbelanjaannya pun dia tidak tahu. Dia hanya bersabar, menenangkan hatinya dan bertawakal. Semoga kali ini ’dia’ selamat.



nuhhas, 00.55am, 10 Nov 2008
Pearl 2nd floor, Opal Village

Tuesday, November 4, 2008

Lady Bird V

Titi Embuni, titi Nani, titi ni Arey, titi ni Abyadun, titi ni Aswadun. Begitulah kelima-lima panggilan manja mereka. Apa maksud di sebalik kata-kata tersebut langsung tidak diketahui. Yang pasti dia selesa dengan panggilan tersebut dan mereka tahu bahawa panggilan tersebut seperti mendodoikan jiwa mereka. Hanya dia dan mereka sahaja yang faham lagu tersebut apabila diucapkan mengikut nada suara yang juga mereka sahaja yang mengerti.


Kini, sudah 2 hari, Aswadun tiada. Dia pasrah, dia sedih dan lagi, dia rasa bersalah. Tatkala dia kesunyian keseorangan, wajah Aswadun selalu datang. Tatkala matanya ingin terlelap tidur, wajah Aswadun juga terbayang. Terbayang. Terbayang. Terbayang. Dia benci. Dia benar-benar tidak suka dengan keadaan tersebut. Makin difikir makin memaksa dirinya untuk menangis. Yang benarnya, dia lebih rasa bersalah. Mengenangkan wajah Aswadun yang comel itu, dia tidak sanggup. Sampai bila dia harus dihantui wajah-wajah Aswadun. Sampai bila dia harus menaggung rasa bersalah. Kata-kata ayah sebelum pulang ke kampung supaya memberinya air kelapa lagi menambah rasa bersalahnya. Air kelapa dapat membuang racun dan toksik dalam badan. Namun, apakan dayanya hanya kudrat seorang perempuan. Dia tidak mampu untuk melejang ke sana ke mari mencari air kelapa. Di mana harus mendapatkan air kelapa tatkala itu? Sukar. Masa itu, jauh di sudut hatinya berkata; keadaan demam seperti itu akan baik tidak lama kemudian. Dia membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian pada kucing-kucingnya sebelum ini. Lalu, dia biarkan saja.


Tapi pagi itu, dia bangun dari tidur, menuju ke bilik air dan mendapati Aswadun terlepek di atas lantai bilik air. “Aswadun! Kenapa ni?” Dadanya mula berombak. Membayangkan yang bukan-bukan bakal terjadi selepas ini. Dengan keadaan Aswadun yang semakin lembik kerana sudah 2 hari ia tidak makan, hanya minum air sahaja, kemudian termenung lama di depan bilik air.


Lantas dia terus berfikir untuk membawanya ke klinik haiwan. Pagi itu juga dia berkata dalam hatinya; “Sabar Aswadun, tabahkan hati”. Namun belum sempat klinik veterinar buka pada pukul 10, dia.....

“Aswadun! Kenapa ni?! Kenapa ni Aswadun? Aswadun!”

Buih di mulut Aswadun semakin banyak keluar. Dia pantas mengelapnya menggunakan tisu. Kelakuan Aswadun yang terbaring dan menendang-nendang, menyebabkan dia panik. Air matanya mulai deras keluar.

“Aswadun, bangun Aswadun. Bangun!”

“Bangun! Jangan macam ni.” Dia mengurut-urut perut dan belakang tengkuk Aswadun.

“Aswadun bangun Aswadun.” Aswadun semakin rancak menendang-nendang. Matanya terbalik, mulutnya terbuka. Dia faham, keadaan Aswadun sebegitu sebenarnya sedang nazak. ‘Dia’ sedang berlawan dengan sakaratul maut. Namun, dia seperti hilang akal dan tidak dapat menerima hakikat.

“Aswadun bangun, nanti kita pergi klinik ye.”

Dia fikir usahanya menyuapkan air bercampur ubat demam kepada Aswadun kelmarin adalah sia-sia. Air matanya semakin galak mengalir deras disamping mulutnya tidak henti-henti memanggil nama Aswadun. Adiknya di sebelah juga begitu. Keadaan seperti itu tidak ubah seperti tayangan drama dalam televisyen. Ketika seorang anak yang menangis meraung saat ibunya hendak menghembuskan nafas terakhir.


Dia terus menggosok-gosok dada aswadun, dengan harapan agar jantungnya terus berdegup. Namun, 10 minit kemudian, Aswadun pergi buat selama-lamanya.


Aswadun mati di hadapannya. Tidak cukup dengan itu, diangkatnya badan aswadun lalu dipangku. Masih panas lagi suhu badannya. Masih memanggil-manggil nama Aswadun agar bangun. Namun, semuanya tiada makna. Dia dapat merasakan ada Izrail di sekitarnya ketika itu. Dia menangis dengan semahu-mahunya.


*****


Pukul 8.40 pagi, 2 November 2008 adalah tarikh Aswadun mati.

Sejak itu, dia merasakan bahawa dirinya bersalah kepada Aswadun. Bersalah sangat. Dia menyalahkan dirinya kerana kurang menjaga Aswadun dengan baik sebelum ini. Kasih-sayang, tidak bermain dan bergurau senda seperti sepatutnya. Dia merasakan bahawa dia tidak patut keluar pada malam sebelumnya dan patut duduk di sisi Aswadun menemankannya. Macam-macam lagi.

Bukan dia tidak tahu, ajal maut di tangan Tuhan, bahawa semua benda atau makhluk di dunia ini akan mati. Datang, kemudian pergi. Dia arif benar tentang hal itu. Namun perasaan manusia, ia tetap perasaan.


Perginya Aswadun membuatkan kasih sayangnya kepada 2 ekor lagi adik-beradik Aswadun semakin mendalam. Dia tidak mahu lagi perkara yang sama berulang kembali. Dia ingin sayang dengan sepenuhnya.


Nuhhas, Pearl 2nd floor, Opal Village. 1.20am